BAIK-BAIK JALAN, KALAU JATUH, BANGUN!
Matahari panas terik pagi itu, ketika aku beransur meninggalkan asrama 5 tahun dahulu. Hari Sabtu ketika itu, hari paling best buat penghuni asrama kerana dapat keluar berjalan-jalan mereleasekan tension terpenjara di sekolah.
Berjalan meninggalkan bilik bersama aku ketika itu ialah roomate yang sekepala. Masing-masing berbaju batik hijau - baju batik asrama. Menghampiri pondok pak guard perlahan-lahan. Tiba sahaja, pak guard melazimi wajahnya dengan senyuman yang tidak pernah lekang.
"Nak ke mana?"
"Nak keluar, pak cik! Beli-beli barang sikit kat bandar".
"Ha'ah, ya lah. Mari, tulis nama dulu".
"Ok, dah siap dah. Pak cik, kami jalan dulu ya!"
"Iyalah, baik-baik jalan, kalau jatuh, bangun ya!".
"Haha, memanglah pak cik, takkan nak terbaring jer tak bangun-bangun!"
Aku tertawa dengan ulah pak guard sebentar tadi sambil berjalan meninggalkan sekolah. Buat beberapa lama selepas itu, aku asyik teringat sahaja ayat kelakar pak guard itu. Ada ke patut nak cakap benda-benda yang kita boleh fikir sendiri? Haduiii, lawak-lawak! Kepalaku tergeleng-geleng. Lagipun, takkanlah aku boleh jatuh kalau berjalan elok-elok? Kah kah kah!
Masa berlalu. Bulan berganti. Setiap kali aku keluar sekolah, pak guard asyik mengatakan benda yang sama. Benda yang aku tak pernah ambil pusing. Benda remeh yang sia-sia sahaja untuk difikirkan. Nasihat yang mengarut! Kata-kata itu menjadi lazim di mulutnya, sehinggalah terhenti apabila pak guard lain yang mengganti.
Kini, 10 tahun berlalu. Dah banyak benda berlaku dalam hidup aku. Kata orang, hidup seperti roda, kadang-kala di atas, dan kadang-kala kita di bawah. Berpusing-pusing setiap masa. Setiap orang melaluinya. Sama seperti aku.
Dalam kepayahan dan kesenangan yang silih berganti. Tiba-tiba pada suatu hari, aku teringat kembali kisah pak guard dan nasihat nonsensenya tu. Wajah tua pak guard menuturkan kata-kata itu muncul di fikiran, dengan senyuman yang tak pernah lekang. Gambaran itu bergerak perlahan dalam tayangan memori yang seperti diflash back. Aku termenung. Berkira-kira tentang apa yang aku lalui dan kata-katanya. Dalam aku berfikir, dan betapa aku telah silap.
Ironik! Kata-kata pak cik tua itu rupanya bukanlah hanya sekadar ucapan selamat tinggal. Ia adalah falsafah yang dalam. Muncul maknanya selepas hampir sepuluh tahun secara tiba-tiba. Tanpa aku sedar, kata-kata itu sentiasa menunjangi diri ketika terasa lemah dalam berjuang. Tanpa aku sedar, kata-kata itu penderap laju langkah yang tiba-tiba longlai. Tanpa aku sedar, kata-kata itu bermakna...
Rupa-rupanya, ia adalah mutiara dalam kata...
baik-baik jalan, kalau jatuh, bangun!
No comments:
Post a Comment